Al-Quran berusia 1400 tahun, tidak mempunyai
baris
Baru-baru ini, sesetengah golongan menimbulkan isu
mengenai al-Quran berbaris dan al-Quran tidak berbaris. Pada masa yang sama
golongan ini mempersoalkan ketulenan al-Quran berbaris dengan melemparkan
tohmahan tidak berasas bahawa al-Quran berbaris itu sudah diseleweng.
Sungguh keras tohmahan itu, ia juga satu fitnah. Sungguh cetek juga pengetahuan
golongan itu terhadap realiti. Isu ini ditimbulkan oleh golongan kafir yang cuba
mencari kesalahan Al-Quran. Malangnya ada segelintir umat Islam yang terpengaruh
dengan hal ini.
Saya hanya boleh tersenyum kepada golongan ini, mereka
mungkin tidak tahu dua jenis realiti. Satu, realiti sejarah dan satu lagi ialah
‘realiti sebab’.
Realiti Sejarah (Mengapa Disusun)
Dari sudut sejarah penyusunan ayat-ayat al-Quran, ia
tidak perlu diterangkan secara panjang lebar di sini kerana umum yang celik
sejarah Islam sudah mengetahui sejarah penyusunan itu dan mengapa ia dilakukan.
Penyusunan al-Quran dibuat untuk memudahkan umat Islam membaca dan
menghafal.
Bagaimanapun, kita hanya imbas sedikit mengenai sejarah
penyusunan al-Quran sebagai maklumat kepada yang belum mengenali sejarah
penyusunan mushaf al-Quran.
Ketika zaman kewahyuan dan kenabian Rasulullah, ayat-ayat
wahyu yang diturunkan telah ditulis oleh para sahabat terutama Ali, Muawiyah, `Ubai bin K`ab dan Zaid bin Thabit,.
Ayat-ayat suci itu pula ditulis di atas pelepah kurma, kulit binatang dan
sebagainya. Ia ditulis bagi memudahkan umat pada ketika itu untuk membaca dan
menghafal ayat-ayat yang diturunkan. Malah, ayat-ayat itu ditulis di hadapan
Rasulullah sendiri oleh para sahabat, lazimnya pada ketika selepas wahyu
diturunkan. Proses serupa itu berlarutan sehingga sejarah kewahyuan tamat
apabila baginda wafat.
Al-Quran masih lagi di catatkan di atas kulit kayu di
Afrika
Walaupun belum ditulis secara mushaf (bahasa mudahnya
ialah dalam bentuk buku), al-Quran sebenarnya sudah sedia mushaf dalam ingatan
umat Islam (para sahabat yang taat) ketika itu. Selepas kewafatan Rasulullah,
ayat-ayat ini dikumpul semasa zaman khalifah-rasyidin.
Kerja pengumpulan dan merekodkan al-Quran dalam bentuk
tulisan secara serius bermula ketika zaman kekhalifahan Abu Bakar yang
begitu garang memerangi golongan murtad. Perang melawan golongan murtad juga
menyebabkan sebilangan besar umat Islam yang menghafal al-Quran telah
terkorban.
Kebimbangan terhadap bilangan penghafal al-Quran yang
semakin berkurangan (ramai gugur syahid dalam memerangi golongan murtad)
menyebabkan Umar yang
risau dengan perkembangan itu telah berjumpa dengan Abu Bakar. Umar mencadangkan
supaya al-Quran ditulis dan disusun dalam bentuk buku kerana para hafiz sudah
ramai terkorban.
Abu Bakar pada mulanya menolak cadangan itu. Namun
selepas khuatir melihat bilangan para penghafal yang ramai terkorban, maka
difikir semula terhadap cadangan itu selepas beberapa kali dipujuk Umar. Abu
Bakar kemudian bertemu Zaid bin Sabeit (Zaid adalah antara tahfiz terawal sejak
tahun-tahun kenabian Rasulullah) dan menceritakan kebimbangannya kepada Zaid
mengenai kemungkinan satu masa nanti sudah tiada lagi umat yang mengingati
ayat-ayat al-Quran.
Quran kemudian ditulis di atas lembaran-lembaran dan
diserah kepada Abu Bakar, kemudian pada tahun 13H iaitu setelah mangkat Abu
Bakar, lembaran itu diserahkan pula kepada Umar. Sesudah mangkat Umar,
diserahkan pula kepada anaknya iaitu Hafsah. Kemudian semasa
kekhalifahan Uthman,
lembaran itu diambil semula daripada Hafsah. Demikian serba ringkas mengenai
sejarah penyusunan mushaf. Jika ingin mengetahui lebih terperinci mengenai
sejarah penyusunan al-Quran, sila rujuk bahan yang berkaitan.
Bermula zaman khalifah Uthman, timbul pula masalah
pembacaan al-Quran dalam pelbagai dialek Arab ketika itu. Maka, tiba masanya
supaya al-Quran disusun sebutan dialeknya supaya tepat mengikut cara sebutan
lidah Rasulullah dalam dialek Quraisy. Ia kerana al-Quran diturunkan kepada
Rasulullah dan diucapkan baginda dalam sebutan ‘asal’ mengikut lidah Rasulullah
semasa ayat-ayat itu diturunkan. Rasulullah adalah ‘penerima wahyu al-Quran’,
sedarlah realiti ini. Sebutan asal di sini pula bermaksud sebutan ayat suci
seperti yang disebut oleh Rasulullah dalam dialek Quraisy kerana Rasulullah
adalah seorang Arab dari kelompok Quraisy. Maka, kaedah sebutan (dialek)
al-Quran dibuat mengikut cara ia disebut oleh Rasulullah, setiap perkataan perlu
mengikut lenggok lidah Rasulullah dalam dialek Quraisy, ia perlu, kerana
begitulah bunyinya (dari segi dialek) ketika ayat al-Quran keluar dari mulut
Rasulullah semasa disampaikan Jibrail.
Realiti Sebab (Mengapa Mempunyai
Baris)
Baris dapat mewujudkan sebutan yang seragam di seluruh
dunia
Jika seseorang mempelajari hukum bahasa, dia sudah tentu
tahu apa itu ‘fonetik’ atau
‘phonetic’ atau bahasa
mudahnya ialah sistem ejaan mengikut bunyi dialek yang menggunakan simbol
tertentu bagi mewakilkan ‘bunyi asal’ sesuatu perkataan itu. Sistem simbol bagi
mewakilkan ‘sesuatu bunyi tepat’ itu juga harus dipelajari supaya ia boleh
disebut dengan tepat mengikut dialek asalnya.
Baris-baris (fatahah, kasroh, dommah) dan simbol-simbol
(sukun, syaddah dan sebagainya) diletakkan dalam mushaf bagi memberi penekanan
‘tone’ kepada sesuatu perkataan supaya ia tepat dengan dialek seperti yang
diucapkan Rasulullah mengikut lidah dialek Quraisy. Ia juga bagi mewujudkan
sebutan yang seragam, tidak pelbagai, iaitu sebutan bagi sesuatu ayat atau
perkataan itu tepat dari segi sebutan dan maknanya.
Perletakan baris juga adalah untuk membantu bacaan supaya
sebutan itu tepat dari segi dialek dan cara yang sepatutnya ia disebut. Sebelum
mushaf diletakkan baris, al-Quran disebut, dilafaz dan dibaca dalam pelbagai
dialek Arab. Namun selepas baris-baris diletakkan, ia membantu pembacaan
supaya sebutannya menjadi standard mengikut dialek yang disebut oleh
Rasulullah, seperti dilafaz oleh nabi semasa wahyu itu
diturunkan.
Namun kalau kita merenung realiti ‘proses belajar’
membaca al-Quran, kita akan dapati bahawa orang Arab sendiri perlu belajar
mengenal baris sebelum dapat membaca al-Quran dengan betul. Ini
realiti.
Walaupun al-Quran itu dalam bahasa Arab, namun orang Arab
sendiri perlu belajar mengenal baris, perlu belajar mengeja mengikut baris,
perlu mengenal hukum-hukum bacaan, perlu belajar tajwid sebelum dapat membaca
al-Quran dengan betul. Ini juga realiti.
Ia juga bagi menjaga kesucian al-Quran itu sendiri. Orang
Arab juga ada yang Kristian, tidak semua Islam. Jika orang Arab tidak perlu
belajar membaca al-Quran, maka orang Arab beragama Kristian juga akan dapat
memahami maksud al-Quran dengan mudah. Tapi, perkara ini (orang Arab Kristian
membaca al-Quran dan mentafsir sesuka hati) akan dapat dikawal sekiranya
diletakkan baris. Ini bemakna, orang Arab juga perlu belajar membaca al-Quran,
perlu mengenal baris, perlu mengenal simbol dan perlu tahu setiap tone dalam
menyebut sesuatu perkataan al-Quran bagi mendapatkan maksud yang
tepat.
Semasa saya masih belajar (dalam negara), saya ada
mengenali seorang pensyarah berbangsa Arab (rakyat Mesir) dan beberapa kali
berkunjung ke rumahnya di kawasan kampus. Saya pernah berkata kepada pensyarah
itu: “Senang ya orang Arab, tak perlu susah-susah belajar mengenal baris untuk
belajar al-Quran.”
Tapi pensyarah saya balas: “eh.. orang Arab pun kena
belajar kenal baris. kalau tak kenal baris, macam mana nak baca al-Quran? Baris
itulah yang membezakan bahasa Arab dengan bahasa al-Quran.”
“cuba kamu pergi di bilik hujung itu (sambil menunjukkan
jari). Cuba kamu dengar apa yang isteri saya sedang buat bersama anak saya,”
kata pensyarah itu yang fasih berbahasa Melayu kerana sudah lebih 8 tahun
mengajar di universiti tempatan tempat saya belajar dulu.
Saya pun pergi ke bilik hujung di rumah pensyarah saya
itu dengan izinnya sendiri, saya dengar:
“.. Sa fataha, sa. Jim fataha, ja. Ha fataha, ha. Qho
fataha, qho....” saya dengar isteri pensyarah sedang mengajar anaknya mengeja
mengenal baris.
Jawapan balas daripada pensyarah dan pengalaman itu buat
saya tersedar satu realiti, realiti terhadap kepentingan baris itu sendiri.
Baris itulah yang membezakan bahasa Arab dengan bahasa al-Quran. Baris
itu diletakkan bagi memelihara kesucian al-Quran itu sendiri. Ia adalah ciri
unik dalam menjaga kesucian al-Quran.
Jika ada lagi yang masih semberono mengatakan al-Quran
berbaris itu tidak tulen, dan mengatakan al-Quran yang asal itu tidak berbaris,
maka fikir semula.
Al-Quran diturunkan secara lisan, bukan secara
bertulisan. Maka di mana asasnya dakwaan pihak berkenaan mengenai al-Quran itu
asalnya tiada baris sedangkan al-Quran itu diturunkan secara lisan, jika secara
lisan, dari mana wujud pertikaian barisnya?
Al-Quran diletakkan baris bagi menjadikan sesuatu
perkataan atau ayat itu mengikut cara sebutan yang diucapkan Rasulullah
sepertimana ia diturunkan dan dilafazkan semasa Jibrail melakukan tugasnya
menurunkan wahyu kepada baginda. Ia juga bagi memudahkan bacaan dalam sebutan
yang betul, seterusnya memudahkan proses menghafal.
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan
Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”
(Quran, al-Hijr: 9)
Jika ada yang mempertikai baris al-Quran, cuba fikir
semula dengan waras. Al-Quran itu dibukukan (mushaf) dengan baris-baris supaya
mudah dibaca dan dihafal serta sebagai usaha dijauhkan dari tangan-tangan kafir
yang sentiasa mahu mengubah isi kandungannya bagi menyesatkan akidah Islam. Juga
supaya muncul generasi tahfiz, adalah lebih baik belajar menghafal al-Quran
daripada mempertikaikan barisnya.
Golongan yang mempertikai baris al-Quran itu pula, adakah
mereka hafal al-Quran? Atau sekadar tahu mempertikai dan hanya merujuk
terjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu sahaja? Jika merujuk terjemahan al-Quran
dalam bahasa Melayu, memang benarlah al-Quran itu tiada baris, kerana bahasa
Melayu memang tiada baris. Tetapi bahasa al-Quran diletakkan baris bagi menjaga
ketulenan dan kesuciannya, ia juga bagi membezakannya dengan bahasa Arab yang
difahami semua bangsa Arab tidak kira Arab Muslim atau Arab kafir. Jika
diletakkan baris, ia hanya boleh dibaca oleh orang Islam yang tahu membacanya
selepas belajar cara membacanya.
Kepada golongan yang mempertikai baris al-Quran, nasihat
di sini ialah berkawanlah dengan semua orang, jangan taksub dengan fahaman
sendiri yang sempit. Berkawanlah dengan semua orang supaya akan dapat banyak
pengetahuan berguna, seperti pengalaman yang saya ceritakan tadi. Mohon maaf
jika saya tersilap dalam menyampaikan maksud artikel ini. jika ada yang masih
belum jelas, rujuklah kepada mereka yang lebih berilmu dalam hal ini. Saya hanya
sekadar menyampaikan mengikut sudut pandangan yang saya fahami.
Allah lebih mengetahui terhadap segala perancangan-Nya
dalam memelihara agama-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan